|
||||||||||
SEJARAH SEKOLAH Sebuah sekolah perempuan Aliran Inggeris yang pertama di Negeri Kedah Darul Aman. Bangunan sekolah ini pada mulanya ialah sebuah istana kepunyaan Cik Chempo Chendra, isteri pertama Almarhum Sultan Abdul Hamid. Pada tahun 1922 kerajaan negeri telah membeli bangunan istana ini. Dengan sokongan dan kerjasama Tengku Sulung Ahmad Idid, Tuan Stewart (Pengawas Pelajaran) dan En. Ismail Putih, sekolah ini ditubuhkan dengan nama Sekolah Perempuan Kampung Baru. Pada mulanya sekolah ini untuk anak-anak perempuan pegawai tinggi kerajaan negeri Kedah sahaja. Penuntut-penuntut sekolah ini dipilih oleh sebuah lembaga yang terdiri dari mereka yang disebut di atas tadi. Sekolah ini ditutup waktu pemerintahan Jepun. Selepas perang, sekolah ini dibuka semula di bawah jagaan Cik Kontek Kamariah. Apabila Inggeris kembali memerintah, Capt. P. Whitworth, Ketua Pegawai III telah membuka sekolah ini pada 12 November 1945. 70 orang murid perempuan dari pelbagai keturunan, bangsa dan agama pertama kali diterima masuk ke sekolah ini. Bilangan murid bertambah dari tahun ke tahun. Dalam tahun 1948 bilangan murid meningkat dari 194 orang dengan 10 orang tenaga pengajar. Cadangan telah dibuat dalam tahun 1951 untuk mencari tapak baru. Akhirnya pihak berkuasa telah mendapat satu kawasan di Derga. Pada tanggal 10 Januari 1954 KDYMM Tuanku Sultanah Kedah telah dengan rasminya meletakkan batu asas bagi tanda pembinaan bangunan baru yang dilengkapi 16 bilik darjah untuk sekolah rendah dan 13 bilik darjah untuk menengah. Mulai tarikh itu sekolah ini diberi nama sempena nama Tuanku Sultanah Kedah. Pada mulanya sekolah rendah dan menengah di bawah satu pentadbiran Guru Besar sehinggalah tahun 1959 apabila sekolah rendah mendapat bangunan sendiri di kawasan yang sama. Dari tahun itu hingga hari ini enam orang Guru Besar telah mentadbir sekolah ini. Dalam tahun 1981 bilangan murid telah meningkat kepada 1433 orang. Satu perancangan telah dibuat untuk mengatasi masalah kesesakan. Disebabkan kekurangan kawasan, bangunan baru tidak dapat dibina. Murid-murid terpaksa berkongsi 15 bilik darjah dengan 30 kelas sesi pagi dan 15 kelas sesi petang. Pada 20 Ogos 1994 sekolah ini telah berpindah ke bangunan sekolah sekarang yang terletak di Km 4, Jalan Langgar. Bangunan baru ini telah dilengkapi dengan segala kemudahan. Mulai tahun 2002, semua murid Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma memulakan persekolahan dalam satu sesi. TOKOH SEKOLAH Di awal tahun 1950-an, Negeri Kedah mengalami suatu era kebangkitan dan kesedaran di mana semua ilmuan di zaman tersebut mula mempersoalkan tentang betapa perlunya satu sistem pendidikan yang mempunyai asas yang kukuh yang membangunkan anak bangsa secara sama rata tidak kira lelaki dan perempuan. Di sana sini memperkatakan tentang keperluan diwujudkan sebuah sekolah baru bagi menampung keperluan pendidikan pelajar perempuan di peringkat rendah dan menengah di negeri Kedah pada masa itu. Ketandusan bangunan yang sesuai untuk dujadikan sekolah. Sekolah perempuan yang ada pada ketika itu Cuma Sekolah Perempuan Kampung Baharu yang sudah terlalu lama dan bangunannya pula memerlukan pembaikan ekstensif di sana sini. Berikutan ini, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pelajaran mula membuat kajian dan perancangan terperinci untuk merealisasikan impian para ilmuan Kedah ini. Ekoran dari inilah, akhirnya sebuah sekolah rendah dan menengah baru didirikan di Derga. Permaisuri Negeri Kedah ketika itu, Tengku Ampuan Asma Ibni Almarhum Tengku Sulaiman telah berkenan untuk meletakkan batu asas sekolah tersebut. Sekolah itu, akhirnya dinamakan Sekolah Rendah Kebangsaan Sultanah Asma, mengambil sempena nama Baginda. Baginda menaiki takhta Negeri Kedah sebagai Permaisuri kepada Sultan Kedah ketika itu. DYTM Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid yang menduduki takhta Negeri Kedah pada tahun 1935 hinggalah tahun 1958. Baginda telah dikurniakan dengan lapan orang cahaya mata yang terdiri daripada tiga orang putera dan lima orang puteri. Baginda terkenal sebagai seorang permaisuri yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat. Baginda juga telah membantu dalam perkembangan pendidikan di negeri Kedah. Baginda juga sentiasa meluangkan masa untuk menghadiri majlis-majlis penyampaian hadiah yang diadakan oleh pihak Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma. Baginda juga amat pemurah dan sentiasa menghulurkan sumbangan kepada rakyat yang miskin, sakit dan tidak berdaya di seluruh ceruk rantau di Kedah. Baginda akhirnya mangkat pada hari Isnin 13hb Mei 1996 bersamaan 24 Zulhijjah 1416 dengan meninggalkan jasa dan bakti yang tidak terbilang kepada seluruh rakyat negeri Kedah.
|